Followers

Sunday, November 14, 2010

Seminit Berfikir

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Bertemu kembali dipagi minggu ini...semuga kalian semua berada didalam kerahmatan ALLAH jua. Kali ini kita merenung dan mengambil iktibar dari tulisan aspanaliasnet.blogspot.com...tq .

Berfikir Sejenak Lebih Baik Daripada Beramal Sepanjang Malam

Bagi orang-orang yang zuhud dan yang muktabar mereka selalu mengajar murid-murid mereka supaya berusaha menjadi orang yang ikhlas dan jujur sesama manusia. Apabila kita jujur dengan manusia yang lain maka sekaligus kita adalah seorang yang jujur kepada yang Maha Esa. Tiada siapa yang mengetahui sejauh mana kejujuran seseorang itu melainkan diriNya yang sebenarnya.

Tahap kejujuran itu hanya akan sampai apabila kita telah melakukan penyucian terhadap diri kita melalui ibadah pada zahirnya dan amalan pada hakikatnya. Jika kain dan baju kita itu kotor maka cara membersihkannya ialah dengan membasuh dengan air dan sabun pencuci. Tetapi penyucian diri kita itu hanya boleh dilakukan dengan mengamalkan zikirullah secara intensif yang merupakan solat berterusan yang dinamakan dalam kajian hakikat sebagai Solatul Daimun.

Bertawajjuh dan bertawassul kepada Allah merupakan satu amalan yang dituntut bagi kita menjolok rahmat Tuhan dan seterusnya kita berharap dibukakan hijab untuk menjadi orang yang ikhlas dan jujur dalam semua penghidupan termasuklah bidang siasah dan politik yang melibatkan manusia ramai. Itulah amalan pemimpin-pemimpin besar Islam zaman dahulu dan kebesaran gagasan dan jajahan takhluk Islam dilakukan oleh pemimpin-pemimin yang sentiasa bersama Tuhan.

Lain-lain perkataan pemimpin-pemimpin Islam semasa itu sentiasa berada bersama Tuhan dalam segala kehendak kehidupan mereka. Kesebatian mereka dengan unsur ketuhanan mereka sangat tinggi; ibaratnya, kalau tidur dibuat bantal, kalau berjalan dibuat tongkat. Inilah pakaian hidup pemimpin-pemimpin besar Islam dahulu kala yang mampu menakhluki sebahagian besar dunia ini dan mengembangkan Islam di merata pelosok dunia ini.

Kita berbalik kepada unsur ikhlas tadi. Sifat ikhlas ini merupakan sifat Tuhan yang Maha Esa dan mereka yang zuhud sahaja yang boleh dikategorikan sebagai ikhlas. Walaupun ramai di antara kita yang mengaku bahawa mereka serta perjuangan mereka adalah ikhlas hakikatnya yang ikhlas hanya mereka yang sudah sampai kesucian batin dan qalbi mereka sahaja.

Tindakan seorang yang ikhlas itu bersandarkan kepada 4 landasan yang dibahagikan kepada 2 elemen yang berbeza:-  2 perkara yang kita mesti ingat sepanjang hayat dan 2 lagi yang kita mesti lupakan sepanjang kehidupan kita.

1. 2 perkara yang kita mesti ingat sepanjang hayat kita ialah baik orang kepada kita. Satu lagi ialah jahat kita kepada orang. Mengingati baik orang kepada kita itu merangkumi sifat berterima kasih dan sifat syukur. Mengingati jahat kita kepada orang lain sepanjang hayat kita ialah untuk membina sifat taubat dan menyesal di atas tindakan jahat kita kepada manusia lain.

2. 2 perkara yang kita mesti lupakan sepanjang hayat kita ialah baik kita kepada orang lain dan jahat orang kepada kita. Melupakan baik kita kepada orang lain merupakan sifat ikhlas dan jujur yang dituntut oleh Tuhan kerana jika kita ikhlas dan jujur segala perbuatan kita itu tidak minta diingati mahupun minta dibalas. Ianya semata-mata kerana keredhaan kita sebagai makhluk Tuhan yang dikatakan sebagai secantik-cantik kejadian. Melupakan jahat orang kepada kita ialah untuk membina sifat pemaaf atas kesalahan manusia lain terhadap kita.

Perkara-perkara yang disebutkan di atas ini merupakan elemen kesempurnaan sebagai insan yang diberikan tanggungjawab menjaga kesucian dan kerahsiaan Tuhan dan jika ada di kalangan kita mempunyai ciri-ciri ini dalam kehidupan kita maka kitalah sebenarnya yang menguasai segala apa yang baik yang diturunkan oleh Allah melalui Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi serta Aulia-Aulia dan Wali-WaliNya.

Dalam konteks ini maka kita lebih-lebih lagi pemimpin-pemimpin boleh bertafakkur walaupun sejenak untuk meletakkan kita di mana yang sepatutnya diletakkan. Bertafakkur dan berfikir sejenak itu lebih baik dari beramal sepanjang malam. Itulah satu dari Firman ALLAH SubhanaWataala.
Kredit to aspanaliasnet.blogspot.com

No comments: