Followers

Thursday, January 20, 2011

Dunia Sebelah Sana

Assalamualaikum Ustadz.
Seperti yang dijanjikan saya coretkan pengalaman saya yg pernah masuk ke taman larangan utk tatapan ustadz dan boleh juga kalau ustadz hendak masukkan ke dalam blog untuk tatapan semua orang. Tiada masalah bagi saya, saya cuma ingin menceritakan bahawa tidak semua orang dapat mengalami pengalaman yang pelik dan mungkin juga masing-masing mempunyai pengalaman yang berbeza dan elok lah kita kongsikan bersama..hehehe…
Cerita bermula…..
Kejadian terjadi di tahun 1985 semasa saya di dalam perkhidmatan Angkatan Tentera (Darat) dan ketika itu saya bertugas di sebuah markas Tentera Darat di Kuala Lumpur. Suatu hari datang lah satu idea dari salah saorang pegawai kanan di situ untuk berekreasi sambil memancing di Empangan Kenyir, Terengganu. Idea ini telah dipersetujui oleh Panglima Perang dan beberapa pegawai kanan di markas tersebut. Maka sambutan untuk turut serta dalam aktiviti tersebut dari kalangan pegawai-pegawai amat menggalakkan sehingga terpaksa di buat undian kerana tempat adalah terhad dan juga tidak semua dibenarkan mengikuti rombongan tersebut kerana tugas.
Nasib saya baik kerana tersenarai untuk mengikuti rombongan tersebut. Pada hari yang ditetapkan, kami seramai 15 orang bertolak ke Empangan Kenyir menaiki helikopter kira-kira jam 7.30 pagi dan sampai di kepala Empangan (Kuala Berang) sekitar 8.30 pagi. Kira-kira jam 9.00 pagi kami pun menaiki 5 buah bot bertolak menuju ke Kuala Sepetang yang mengambil masa kira-kira satu jam setengah. Apabila sampai sahaja ke destinasi yang dituju, kami disambut dengan lompatan ikan-ikan toman dan suasana yang menyamankan; memang menyeronokkan dan kagum akan keindahan kawasan tersebut yang jauh dari gangguan manusia. Maklumlah ketika itu kawasan Empangan Kenyir merupakan kawasan hitam dan kawasan larangan bagi semua orang kecuali penduduk tempatan yang menjadi nelayan darat ketika itu. Sewaktu itu Malaysia masih belum lagi bebas dari ancaman komunis.
Masing-masing mengambil kedudukan dan tempat yang difikirkan sesuai untuk memancing kerana teruja dengan ‘sambutan’ yang dilakukan oleh ikan-ikan toman tadi. Saya bersama saorang sahabat saya Mejar Daud tidak berminat untuk memancing tetapi lebih kepada menebar jala pada sebatang sungai yang sangat jernih. Memang sungguh menakjubkan kerana kelibat ikan-ikan yang berenang di dalam sungai tersebut dapat dilihat dengan jelas di dalam air yang jernih. Apabila jala ditebar, ikan-ikan tersebut bertaburan berenang melarikan diri. Memang teruja juga bila dapat melihat ikan-ikan besar dan sejenis ikan meloncat seakan-akan terbang di atas air apabila bila melarikan diri. Belum pernah seumur hidup dapat melihat senario yang sebegitu di depan mata. Walau bagaimanapun tangkapan saya ketika itu tidak la seberapa...sebab ikan-ikan di situ memang pandai dan dapat mengesan kehadiran manusia di air yang sangat jernih.
Lebih kurang satu jam kemudian, hujan turun dengan lebat dan saya bersama rakan tadi mencari tempat berteduh untuk menunggu hujan reda. Apabila hujan reda, saya pun berjalan bersendirian untuk mencari lubuk yang lebih baik untuk menebar jala. Ketika itu saya ternampak anak air yang keruh turun dari tebing yang kira-kira 10 kaki tinggi, saya pun menaiki tebing tersebut dan mencari punca air itu. Kira kira dalam lima belas langkah mengikuti arah anak air tersebut, saya ternampak sebuah kolam kecil sedikit dari separuh gelanggang badminton yang dipenuhi dengan ikan-ikan species terbang di atas air seperti yang saya ceritakan di awal tadi. MasyaAllah banyaknya ikan ...dan yang menakjubkan sekali ialah ikan-ikan tersebut tidak lari dalam air keruh itu... kelihatan hitam disebabkan dipenuhi dengan ikan-ikan tersebut. Ikan-ikan tersebut seolah-olah berbaris seperti tentera yang sedang di padang kawad. Memang menakjubkan dan terkejut saya ketika itu. Saya memang tidak mengenali species ikan tersebut tetapi saiznya lebih kurang 3 jari lebar dan bentuknya seperti ikan kelisa. Tanpa membuang masa saya terus mencari rakan saya tadi dan memanggil dia naik ke atas tebing kerana jala berada di tangan dia. Saya memang tidak pandai menjala tetapi setakat menolong boleh la..
Rakan saya pun datang dan saya tunjukkan arah kolam tersebut dan dia pun terdiam dan teruja melihat banyaknya ikan-ikan di kolam yang kecil tersebut. Beliau pun menebar jalanya dan mana-mana ikan yang tidak sempat lari, terperangkap di dalam jala tersebut. Dianggarkan sekali tebar, ikan sebanyak 3 hingga 4 kg terperangkap di dalam jala tersebut. Tugas saya ketika itu ialah mengutip ikan-ikan dan masukan ke dalam karung plastik. Kami tunggu seketika dan membiarkan ikan-ikan tersebut berkumpul semula ke dalam kolam tadi. Ikan-ikan yang bertempiran tadi ada yang lari ke arah hulu anak air yang selebar sekaki seperti longkang sahaja. Kawan saya terus menebar sebanyak 2 kali lagi dan meninggalkan saya untuk mengutip ikan-ikan tersebut. Saya telah menjadi asyik dan tamak ketika itu, lalu saya telah mengambil tangguk untuk menangguk ikan-ikan yang masih terkial-kial di anak air yang menghala ke hulu.
Mana yang ada di depan mata habis saya sauk dengan tangguk, mana yang lari saya turuti perlahan-lahan. Kira-kira 25 meter dari kolam tersebut, saya telah ternampak sebuah batu berbentuk dinding yang sebesar rumah di hadapan mata saya. Anak air tersebut melalui tepi batu tersebut dari sebelah kanan dan terus ke belakang batu tersebut dan ini bermakna anak air itu bersambung dengan punca di belakang batu besar itu. Saya pun terus melangkah untuk ke belakang batu tersebut. Ketika ini …….bulu ruma dan bulu tengkok saya terus tegak dan meremang. Saya dapat rasakan bahawa ada sesuatu di belakang batu tersebut. Hati saya mengatakan supaya saya berpatah balik tetapi saya hendak juga meneruskan langkah. Saya lawankan jugak hati saya ini dan terus melangkah perlahan-lahan. Apabila saya berada di belakang batu tersebut dan mematikan langkah, masya Allah, cantiknya tempat itu. Seperti sabuah taman yang sangat indah. Terdapat sebuah kolam sedalam paras pinggang, sebesar gelanggang badminton yang airnya sangat jernih dan berpasir seperti pantai di sebelah kanannya. Manakala di sebelah kanan pasir tadi terdapat pokok-pokok kecil dan renek seperti taman. Terdapat juga sebanyak lebih kurang 6 batu seperti bangku yang permukaannya rata di atas pasir tersebut. Di sebelah kiri kolam terdapat sebuah batu besar dinding seperti yang awal-awal tadi, begitu juga yang berada di hadapan kolam tersebut. Kolam tersebut seolah-olah di kepung dengan batu dinding berbentuk ‘U’. Manakala di atas pula diliputi dengan dahan-dahan kayu yang lebat daunnya. Ini menunjukkan kolam tersebut di payungi dengan pohon-pohon pokok. Memang menyaman dan mengasyikkan tempat itu. Dalam pada itu hati saya berkata “ kalau kau masuk, mungkin kau tak dapat keluar lagi”, lalu mengarahkan saya meninggalkan tempat tersebut dengan segera, manakala kaki saya masih hendak terus melangkah masuk ke dalam ‘TAMAN’ tersebut. Dalam hati saya terdetik, adakah ini tempat mandian puteri-puteri bunian? Ketika itu juga saya dapat merasakan bahawa saya sedang ‘diperhatikan’ oleh tuan punya kolam. Memang berbelah bagi saya dibuatnya ketika itu samada hendak terus masuk atau membuat U turn dan beredar sahaja. Dalam keadaan yang 50 – 50 itu, saya pun berpusing ke belakang dan berlari sambil mengutip mana-mana ikan yang telah saya tangguk dan mengambil 3 karung plastik yang dipenuhi ikan-ikan tadi.
Saya pun terus berlari kepada rakan saya tadi yang ketika itu berada kira-kira 50 meter dari tempat itu dan memberitahu dia apa yang saya jumpa, “Tuan, saya terjumpa tempat puteri bunian bersiram di belakang batu itu”, sambil menunjukkan arah tempat itu. Dia cuma tersenyum dan mengajak saya beredar dari situ dan terus menuju ke tempat rakan-rakan lain yang sedang berkemas untuk balik. Mejar memberitahu saya bahawa dia dapat merasakan kelainan tempat tersebut dan oleh yang demikian, beliau telah membaca sesuatu dan cuma menebar jala sebanyak 3 kali sahaja. Saya pun mengerti apa yang dimaksudkan oleh beliau tadi.
Kira-kira jam 7.00 petang kami pun menaiki bot untuk balik ke muka empangan. Setelah setengah jam bertolak, kami dilanda ribut dan hujan yang sangat lebat. Ombak di tasik itu seumpama ombak di laut, ganas dan besar. Cemas kami dibuatnya. Masing-masing memasang ‘live jacket’ khuatir akan keadaan ketika itu. Tidak terfikir saya ketika itu bahawa di tasik pun ombaknya besar seperti di laut. Kira-kira sejam kemudian hujan pun reda dan hari pun semakin gelap. Sedang saya memerhatikan keadaan keliling yang gelap, saya terpandang bebola api sedang mengikuti kami dari arah belakang bot. Boleh dikatakan bebola api itu sebesar bola sepak dan ia menyusuri kami dari tepi tebing tasik, kira-kira 100 meter dari bot kami manakala bot kami menyusuri di tengah-tengah tasik. Saya berada di bot yang belakang sekali. Saya pun memberitahu kepada rakan saya Mej Daud akan perkara tersebut dan beliau pun dapat melihat bebola tersebut dengan jelas. Apabila bebola api tersebut telah melepasi bot kami, bebola tersebut terus hilang. Ketika kemudian bebola api tersebut kembali berada di belakang kami dan terus menyusuri kami seperti awal tadi. Perkara ini berlaku berulang-ulang sehingga lah kami menghampiri kepada empangan dan bebola itu terus hilang. Pelik dan menyeramkan pengalaman yang saya alami ketika itu dan saya dapat rasakan bahawa kami berdua sahaja yang menyedari kehadiran bebola api tersebut.
Setelah tiba di pangkalan, kami pun terus ke khemah dan berkemas untuk makan malam. Setelah semuanya siap mandi dan mengenakan semula uniform, kami pun berkumpul di khemah untuk bersarapan bersama Panglima dan yang lain-lain. Ketika ini badan saya telah menggigil sejuk yang amat sangat, walhal saya baru saja mandi dengan air panas yang disediakan. Lalu saya mengenakan 3 helai pakaian termasuk jersey wool berlengan panjang tetapi tetap menggigil kesejukan. Selera makan ketika itu memang telah hilang dan saya cuba mengawal badan saya supaya tidak menggigil tetapi tidak berjaya. Keadaan saya yang menggigil telah di kesan oleh Panglima ketika itu dan beliau bertanya “what’s wrong with you??”. Saya mengatakan bahawa saya demam dan meminta diri untuk beredar walaupun belum menjamah makanan. Beliau terus mengarahkan doktor untuk memberi suntikan kepada saya. Memang di dalam rombongan kami ini, kami turut membawa saorang doktor berpangkat Lt. Kolonel bersama kerana beliau juga saorang kaki pancing.
Saya pun baring di khemah dan diberi satu injection oleh doktor serta membaluti lagi 3 helai selimut tebal (selimut tentera) tetapi masih lagi sejuk dan menggigil. Ketika itu saya ditemani oleh Mej Daud sambil beliau mengurut kedua-dua belah telinga saya, jari-jari tangan dan kaki sehingga lah saya tertidur. Keesokan paginya saya tersedar dan mendapati Mej Daud masih berada di kerusi di sebelah katil saya sambil tersenyum dan berkata “nasib baik ‘dia’ tak suruh kita hantar ikan-ikan itu malam tadi, kalau tidak haru kita dibuatnya”. Saya pun terus bangun dan tidak lagi demam dan terus bertanya berbagai soalan kepada dia tentang kejadian malam tadi. Mej Daud mengatakan bahawa kita telah memasuki kawasan taman larangan tanpa meminta izin tetapi ‘dia’ tidak lah marah sangat kepada kita dan ikan-ikan tersebut boleh dibawa balik. Pagi itu kami semua pun balik semula ke Kuala Lumpur dengan helikopter yang sedia menunggu….
Itu lah serba sedikit pengalaman saya ustadz yang telah memasuki taman larangan..hehehee.. Sehingga ke hari ini saya masih lagi ingat pengalaman manis saya itu dan saya sangsi samada tempat tersebut masih lagi ada atau tidak kerana kawasan empangan kenyir telah dibuka kepada orang ramai untuk memancing dan berekreasi. Mungkin tempat itu telah tiada dan diteroka. Ustadz boleh paparkan cerita saya ke dalam blog ustadz, saya izinkan tetapi kenalah edit untuk menyedapkan cerita sebab saya ni tak lah pandai menulis dan bercerita ..mungkin jalan cerita ni berterabur dan sukar difahami.

Saya ada lagi cerita-cerita yang saya kira boleh dilanjutkan kepada ustadz tetapi mungkin tak berapa menarik...Cerita-cerita ini adalah pengalaman saya sendiri..mungkin lain masa.
Semoga berjumpa kembali.
Wassalamualaikum ustadz.
Fadzilah bin Hj Omar Baki
Saya rasa amat tertarik dengan kisah ini. Semuga menjadi teladan kepada para pembaca sekalian.
tuankelarias
TQ & Kredit toTuankelarias

2 comments:

Asrul "iLham" Sany said...

cerita yang menarik...

neway lama tak dgr berita dari cute oven ;)

Cute Oven said...

ada masaalah dgn laptop n internet, hnya satu trpaksa mengalah dgn ank n hubby...apa boleh buat.

lptop toshiba tu pulak rosak...nk betulkan harga boleh beli satu lg...konpius2